Rabu, 26 Oktober 2011

Amalan Keselamatan bagi seorang Jurudawai

Topik pertama yang perlu diperbincangkan ialah keselamatan. Saya tidak memberi penekanan yang berat dalam topik ini kerana ia adalah topik umum. Semua yang terlibat dengan kerja-kerja teknikal pasti akan melalui topik pertama ini: Keselamatan. Kita juga sering terbaca kenyataan sama ada dalam bentuk papan tanda atau simbol 'UTAMAKAN KESELAMATAN' dimana-mana sahaja, sama ada dibengkel, tapak bina, kilang dan lain-lain.

Pihak E.I.U dan ST sendiri menekankan topik ini. Lebih jelas, setiap tahun peperiksaan kompetensi dijalankan sekurang-kurangnya 1(satu) soalan yang berkaitan dengan keselamatan. Kata kunci yang penting di dalam topik ini ialah 'AMALAN'. Apa yang perlu diamalkan atau dipraktiskan bagi seseorang jurudawai sebelum, semasa dan selepas membuat pendawaian elektrik.Itu yang penting. Saya sendiri selalu mengingatkan kepada pelatih-pelatih bahawa kita tidak perlu untuk menghafal apakah amalan tersebut kerana apabila kita sendiri mengamalkan tabiat yang dimaksudkan secara berterusan maka secara automatiknya ia akan menjadi jawapan kepada soalan ini, Apakah amalan keselamatan yang perlu diamalkan oleh seseorang jurudawai?

 Keselamatan Diri
Sebelum menyentuh berkenaan dengan 'sebelum, semasa dan selepas', apa kata kita terlebih dahulu melihat dari sudut perpektif diri. Ia melihat sikap & etika, kesesuaian pakaian, penggunaan alat keselamatan & prosuder ketika mengendalikan pepasangan elektrik. Kalau nak mengupas secara terperinci, sebenarnya banyak elemen yang boleh di tokok tambah (logik), namun kita akan beri keutamaan kepada 4 perpektif tadi.

 Sikap & Etika
Sikap adalah merujuk kepada tingkah laku seseorang individu. Semestinya apabila mempersoalkan tentang sikap, elemen-elemen positif perlulah diutamakan, Antaranya seperti;
1. Minat yang tinggi dalam bidang ini akan mendorong perhatian atau konsentrasi yang baik.
2. Tidak dipengaruhi oleh alkohol, dadah dan lain-lain.
3. Tidak membawa masalah-masalah peribadi ke tempat kerja.
4. Sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan dari semasa ke semasa.
5. Pastikan tahap kesihatan yang minimal, seperti tidur yang mencukupi, kesegaran, spirit dan lain2.
6. Peka kepada sekeliling berkenaan dengan bahaya seperti sistem pendawaian itu sendiri, kerosakan alat-alat pertukangan dan kewujudan papan tanda keselamatan.
7. Sikap mengambil berat.
8. Of course disiplin yang baik menyumbang kearah etika yang cemerlang. Ini termasuk perngurusan masa, sikap proaktif, pengawasan yang minimal, berkreatif & berilmu.
9. Menganggap semua litar adalah hidup walaupun dimatikan. Ini memupuk budaya kerja yang lebih selamat.
10. Mematuhi dan menghormati penyelia atau pihak pengurusan.

Kesesuaian Pakaian
Kesesuaian Pakaian bagi seseorang jurudawai tidaklah seperti pakaian seorang tentera, tidaklah seperti jurukimpal logam, tidaklah seperti pemotong rumput. Pakaian hendaklah selesa, sesuai dengan tempat dan keadaan. Apa-apapun berikut perlulah diberi penekanan;
1. Sekiranya perlu membawa sejumlah alat pertukangan kecil yang banyak, pakaian yang mempunyai bilangan poket yang banyak adalah sesuai seperti seluar kargo, jaket kargo dan lain-lain.
2. Elak menggunakan pakaian atau seluar jenis tebal (jenis kain jean atau seumpamanya) kerana akan menganggu keselesaan jika melibatkan banyak pergerakan.
3. Elak menggunakan barangan kemas atau aksesori badan (berasaskan logam) seperti gelang tangan, rantai pinggang dan sebagainya. Seperti sedia maklum peralatan ini bersifat pengalir jika ada berlakunya kebocoran arus.

Penggunaan Alat Keselamatan
4. Gunakan pakaian keselamatan seperti kasut getah, topi keselamatan, sarung tangan getah dan sebagainya.
5. Gunakan peralatan keselamatan seperti safety harness jika melibatkan kerja di tempat yang tinggi.
6. Seseorang jurudawai sebaik-baiknya tidak rabun warna kerana kaedah untuk membezakan pengalir menggunakan kod warna (colour coding). Bagi mereka yang rabun warna, fikir masak2 sebelum menceburi bidang ini.
7. Seseorang jurudawai yang kompeten tahu bagaimana untuk melaksanakan kerja mengikut perancangan awal, pengurusan yang jitu dan beretika bagi mengelak kerja berganda.

Prosuder Ketika Mengendalikan Pepasangan Elektrik
Terdapat 3(tiga) bahagian kalau nak dikupas dibawah tajuk ni;
1. Keselamatan kawasan kerja
2. Keselamatan semasa membuat pemasangan
3. Keselamatan ke atas sistem pepasangan elektrik

1. Keselamatan kawasan kerja
Kawasan kerja hendaklah bersih, selesa, tidak bersepah dan bebas daripada minyak, air, gris supaya tidak tergelincir ataupun tidak terkena renjatan elektrik (air bersifat pengalir) ataupun tidak dijilat api (minyak bahan yang mudah terbakar) dikhuatiri berlakunya percikan api daripada elekrtrik.

Perhatikan disekeliling juga jika adanya sumber-sumber yang mudah terbakar. Kebiasaanya jika ada bahan yang mudah terbakar, pihak yang bertanggungjawab akan melabelkan bahan tersebut serti 'BAHAN MUDAH TERBAKAR' atau 'FLAMMABLE'. Jika ada, anda tidak boleh meneruskan kerja KECUALI ada POLISI KESELAMATAN tertentu yang disediakan oleh pemilik bangunan/ premis.

2.  Keselamatan semasa membuat pemasangan elektrik
Litar Mati
Semua kerja pemasangan sebaik-baiknya dalam litar mati (not energized). Kaedah biasa untuk mematikan litar seperti matikan suis utama, cabutkan fius atau apa-apa alat pemutus yang berhubung (linked) dengan litar tersebut. Ingat, mana-mana bahagian yang dimatikan, anda hendaklah memberitahu atau meletak notis agar litar mati tadi tidak dihidupkan secara sengaja oleh pihak lain. Bagi sesetengah keadaan, anda perlu bawa sekali fius bersama-sama anda.
Litar Hidup
Terdapat sesetengah kes, litar bekalan tidak dapat dimatikan atas sebab alasan tertentu. Jika demikian;
a. Beri tumpuan kepada satu litar sahaja. Jangan sentuh lebih daripada satu litar.
b. Gunakan sarung tangan bertebat dan yang penting, pastikan berdiri di atas lantai yang berpenebat ataupun, guna kasut getah.
c. Sila pastikan sistem pepasangan sudah dibumikan (grounding). Jika tiada, buat sistem pembumian sementara.
d. Pastikan peralatan pertukangan kering dan berpenebat.
e. Labelkan kabel atau litar yang sedang dibaiki.

Keselamatan ke atas sistem Pepasangan Elektrik
Jurudawai yang kompeten pastinya akan memasang alat-alat perlindungan didalam sistem pendawaian seperti fius, MCB bagi mengelak lebihan arus, beban lampau, litar pintas dan arus bocor ke bumi. Bagi sistem yang sudah lama (kebiasaanya 10 tahun), sistem pendawaian hendaklah diuji semula oleh penguji yang bertauliah dan jika perlu, buat pendawaian semula. Di tempat yang mempunyai risiko impak mekanikal yang tinggi, sistem pendawaian hendaklah dibina agar tahan dengan impak tersebut. Ini bermakna, seseorang jurudawai perlu menyediakan satu pakej sistem pendawaian yang komprehensif, bersistem dan selamat untuk digunakan.

Tiada ulasan: